Wednesday, June 24, 2009

Telefon bimbit medium bayaran

Lupakan wang tunai atau penggunaan kad. Telefon bimbit kini mampu menjadi medium transaksi pembayaran menerusi teknologi Near Field Communication (NFC).




HARI ini, telefon bimbit boleh dikatakan teman kita yang paling setia. Bayangkan, kalau kita boleh membeli barang atau menggunakan perkhidmatan dengan membayar terus menerusi telefon bimbit? Ia pasti memudahkan kehidupan kita.

Dompet kita tidak lagi perlu membonjol kerana menampung banyak wang dan kad, sebaliknya dengan hanya sebuah telefon bimbit, kita mampu membayar hampir segalanya. Pelanggan pula tidak perlu bersemuka dengan peniaga atau jurujual, semuanya boleh dilakukan tanpa bersemuka.

Ia kedengaran seperti dunia yang berbeza. Dunia tanpa tunai dan dunia tanpa bersemuka.

Walaupun ia mungkin masih jauh untuk dikecapi secara sepenuhnya, yang pasti, ia bukan mustahil. Menerusi teknologi wayarles terkini, Near Field Communication (NFC), transaksi seperti itu mampu dilakukan. Teknologi yang buat masa ini disasarkan kepada peranti telefon bimbit itu telah pun berjaya dipraktikkan di beberapa negara di dunia seperti Jepun.

Beroperasi menerusi kerjasama bersepadu tiga pihak iaitu bank, syarikat telekomunikasi mudah alih dan peruncit atau penyedia pengangkutan awam, syarikat telekomunikasi NTT DoCoMo di Jepun telah merealisasikan pembayaran debit atau kredit, di kedai atau teksi.

Ia dilakukan dengan telefon bimbit berteknologi NFC diletak atau diimbas pada satu pembaca (reader). Menerusi sistem yang dinamakan Osaifu Keitai (dompet mudah alih), pada masa ini, terdapat lebih daripada 250,000 pembaca yang disediakan untuk tujuan berkenaan.

NFC merupakan teknologi wayarles jarak pendek yang membolehkan komunikasi antara peranti pada jarak kurang daripada 10 sentimeter. NFC beroperasi pada kadar 13.56 MHz dan boleh beroperasi sama ada secara aktif iaitu menggunakan bateri atau secara pasif iaitu menggunakan tenaga radio.

NFC dikatakan boleh membantu mempercepatkan transaksi dalam menerima dan berkongsi data serta membuat pembayaran dengan pantas dan selamat.

NFC boleh beroperasi dengan tiga mod. Mod pertama adalah mod kad emulasi di mana peranti telefon bimbit itu sendiri bertindak seperti kad pintar tanpa bersemuka untuk pembayaran tiket pengangkutan awam berasaskan MiFare atau pembayaran perbankan sistem Visa payWave, MasterCard PayPass atau American Express ExpressPay.

Mod kedua adalah mod pembaca. Peranti NFC mampu membaca tag identifikasi frekuensi radio (RFID) pasif seperti membaca atau menyimpan maklumat pada poster dan sebagainya. Mod ketiga pula menemukan dua peranti NFC untuk pemindahan maklumat mirip Bluetooth.

Penglibatan syarikat pembuatan telefon bimbit dalam menghasilkan telefon bimbit berteknologi NFC juga dapat menyemarakkan lagi penggunaan teknologi ini.

Nokia juga telah mengeluarkan beberapa telefon berteknologi NFC seperti Nokia 6131 dan klasik 6212. DoCoMo misalnya telah mengintegrasikan cip NFC ke dalam telefon-telefon bimbit.

Selain memasukkan cip NFC ke dalam telefon bimbit, ada juga usaha untuk menghasilkan telefon bimbit berteknologi NFC berasaskan kad SIM.


KINI pembayaran menggunakan telefon bimbit bukan lagi mustahil di negara ini.


Kosmo! berkesempatan menemubual syarikat antarabangsa pengeluar kad SIM, kad pintar perbankan, kad pasport, solusi sekuriti digital terkemuka, Gemalto berhubung penglibatannya dengan teknologi NFC. Gemalto yang beribu pejabat di Belanda itu telah melakukan pelbagai percubaan terhadap teknologi NFC di merata tempat di dunia seperti Perancis, Amerika Syarikat (AS), Taiwan dan Belanda. Ia juga terlibat dalam projek inisiatif pembayaran mudah alih PayezMobile.

"Teknologi NFC menampakkan potensi yang amat besar. Ini terbukti apabila dunia kini semakin menerima kaedah pembayaran secara tanpa tunai dan tanpa bersemuka. Kita membeli-belah menggunakan kad dan infrastruktur-infrastruktur pembayaran tanpa bersemuka semakin banyak diwujudkan. Justeru, teknologi NFC menerusi telefon bimbit tentunya mampu menyinar," kata Pengarah Pembangunan Bisnes Gemalto, Jean-Philippe Ruault ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Tambahan pula, menurut kajian terbaru, sebanyak 20 peratus daripada telefon bimbit di dunia akan diintegrasikan dengan teknologi NFC pada tahun 2012. Teknologi ini juga tidak mustahil dikembangkan untuk pembayaran bagi membeli makanan dari mesin runcit atau mendapatkan maklumat menerusi poster pintar pawagam," ujarnya.


TEKNOLOGI NFC menyemarakkan perkembangan dunia tanpa tunai dan bersemuka.


Bagaimanapun, katanya, teknologi ini tidak mampu berkembang sendiri tanpa penglibatan kolektif banyak pihak.

"Ia memerlukan kerjasama bersepadu pihak bank, pembuat telefon bimbit, operator mudah alih, peruncit, pemproses pembayaran, penyedia pengangkutan awam, syarikat-syarikat dan banyak lagi untuk menjadikannya lebih efisien dan menyeluruh," katanya.

Berhubung isu keselamatan seperti kebimbangan data diakses oleh pihak tidak berkenaan atau bagaimana sekiranya telefon bimbit dicuri, itulah sebabnya fungsi Trusted Service Manager (TSM) diperkenalkan Gemalto kepada teknologi NFC.

Menurutnya, TSM menjamin keselamatan end-to-end dengan adanya hubungan dalaman antara operator rangkaian mudah alih, mengaktifkan dan tidak mengaktifkan perkhidmatan, mengurus pangkalan data pelanggan NFC dan sebagainya.

Justeru, sekiranya, kehilangan telefon bimbit, NFC berasaskan kad SIM itu boleh dinyahaktif secara over-the-air.

Kajian yang telah dilakukan pada akhir Ogos tahun lalu menunjukkan ribuan kaunter transaksi over-the-air mengesahkan bahawa pembayaran mudah alih tanpa bersemuka telah membuktikan bahawa pengurusan sekuritinya berada di bawah kawalan.


TAMBAH nilai kad Touch 'n Go menerusi telefon bimbit.


Bagaimana beliau melihat potensi Malaysia menggunapakai teknologi NFC? Ruault berkata, Malaysia sememangnya negara yang berpotensi memandangkan ia antara negara yang awal menggunapakai sesuatu solusi atau teknologi terkini.

"Operator-operator mudah alih dan bank di Malaysia begitu aktif. Tambahan lagi, dalam suasana serba kompetitif. Dengan infrastruktur sedia ada yang menerima bayaran tanpa bersemuka seperti kad Touch 'n Go, Malaysia dilihat berada dalam posisi yang baik untuk menerima NFC.

"Saya menjangkakan, ia akan berlaku dalam masa yang terdekat ini," kata Ruault.

Nampaknya ramalan Ruault itu tepat apabila beberapa hari selepas pertemuan dengan Kosmo!, Maxis Communications Bhd., (Maxis) melancarkan Maxis FastTap, sistem pembayaran mudah alih bersepadu dengan menggunakan teknologi NFC. Teknologi itu membuatkan telefon bimbit berfungsi menggantikan kad atau wang tunai.

Kerjasama Maxis itu dibuat bersama-sama Nokia, Visa, Maybank dan Touch 'n Go.

Naib Presiden Kanan Maxis, Dr. Nikolai Dobberstein berkata, Maxis FastTap adalah perkhidmatan komersial pertama bersepadu di negara ini yang menggunakan aplikasi NFC bagi pembayaran kad kredit, transit, tol dan letak kereta dengan peranti yang sama. Sentuhkan (tap) sahaja telefon bimbit Nokia 6212 untuk melaksanakan transaksi berkenaan atau pembelian barangan di 1,800 prasarana Visa payWave.

"Kerjasama ini bukan sekadar eksperimen, malah amat optimistik untuk dikomersialkan kerana ia merupakan pasaran baru di negara ini," kata Dobberstein kepada pemberita selepas pameran Maxis FastTap.

"NFC adalah teknologi yang hebat. Ia satu teknologi yang amat pantas untuk menjalankan transaksi dan amat selamat," ujarnya

About Author

ADHAM SHADAN
adham.shadan@kosmo.com.my

1 comment:

  1. Its very interesting post, good job

    videocon v music
    Now you can listen to your choice of songs wherever you go. Just subscriber to our V Music service and listen to more than 50 thousand songs. Enjoy latest filmy songs, private albums, regional songs and many more. So what are you waiting for, just follow any one step to subscribe.


    ReplyDelete

Join Freelance Telecom EGroups

To Join Freelance Telecom Groups, please send a blank mail (no subject) to freelancer_telecoms-subscribe@yahoogroups.com