18 kali pantas daripada 3G
Gajet ini menawarkan keupayaan jalur luas mudah alih terpantas pada kadar kepantasan memuat turun maksimum sebanyak 7.2 MB sesaat.
|
|
KOMPAK, nipis dan bergaya. Demikian adjektif yang boleh diberikan kepada telefon pintar, HTC S740. Gajet yang menawarkan papan kekunci QWERTY gelongsor yang cukup sinonim dengan kebanyakan telefon jenama HTC ini hadir dengan rekaan telefon tradisional 12-kunci.
Biarpun produk ini bukan yang terkini keluaran HTC, S740 menawarkan pengalaman kiriman mesej paling fleksibel dan efisien dalam pasaran gajet.
Rekaan pad kekunci 12-kunci ini amat ideal untuk pengiriman mesej dengan menggunakan satu tangan. Bagi mereka yang menggemari pengalaman menghantar mesej dengan sepasang tangan, papan QWERTY pula boleh memainkan peranan.
HTC S740 ini turut menyokong kemudahan e-mel Exchange Push, POP3 dan IMAP. Antara muka 12-kunci di hadapan gajet ini juga memudahkan kiriman mesej segera (IM) atau khidmat pesanan ringkas dibuat.
Selain itu, HTC S740 juga mencontohi reka bentuk nipis telefon mudah alih, HTC Touch Diamond. Tidak hanya menawan dari segi penampilan luaran, gajet ini menawarkan keupayaan jalur luas mudah alih terpantas pada kadar kepantasan memuat turun maksimum sebanyak 7.2 MB sesaat. Ini sekali gus bermakna kadar kepantasan yang 18 kali ganda lebih pantas daripada 3G.
Telefon mudah alih ini turut didatangkan dengan fungsi sistem pengesanan global (GPS) binaan dalam, radio FM dan kamera 3.2 mega piksel untuk rakaman video serta gambar-gambar pegun.
Palm Pre gugat iPhone?
Hari ini, iPhone seolah-olah menjadi satu fenomena dalam dunia teknologi digital. Persoalannya, berapa lamakah iPhone akan mengekalkan popularitinya?
BAGI mereka yang mengikuti peredaran teknologi, pastinya sudah biasa dengan Palm. Palm merujuk kepada produk pembantu peribadi digital atau PDA yang pada awalnya menggunakan sistem operasi Palm OS.
Selari dengan perkembangan semasa dan permintaan pasaran, Palm kemudiannya meluaskan pasarannya dengan menghasilkan telefon pintar yang menyokong sistem operasi Windows Mobile, selain Palm OS sendiri.
Generasi pertama Palm adalah Pilot. Ia dibangunkan oleh Palm Computing, syarikat milik U.S. Robotics di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1996. Sering dirujuk sebagai Palm Pilot, PDA ini berjaya meraih populariti mereka yang mengikut trend semasa pada ketika itu. Tahun demi tahun, Palm telah menghasilkan banyak model antaranya Palm III, Handspring Visor, Tungsten, Zire dan Treo.
Namun, beberapa tahun kebelakangan ini memperlihatkan produk Asia seperti Samsung, LG dan juga produk Eropah seperti Nokia mendominasi pasaran telefon bimbit dan gajet digital. Dominasi ini kemudiannya digegarkan dengan kemunculan iPhone keluaran Apple sekali gus menampakkan semula penyertaan syarikat Uncle Sam di dalam industri ini.
Hari ini, iPhone seolah-olah menjadi satu fenomena dalam dunia teknologi digital. Cakap sahaja pasal telefon, tentunya iPhone menjadi perbandingan.
Barangkali keunikan reka bentuknya serta grafik serta aplikasi yang menarik menjadikan iPhone sebuah ikon telefon bimbit hari ini. Persoalannya, berapa lamakah iPhone akan mengekalkan popularitinya?.
Kebangkitan Palm menerusi produk terkini mereka, Palm Pre mungkin wajar diberi perhatian iPhone dan pemain lain di dalam dunia gajet digital. Menggunakan sistem operasi WebOS, telefon pintar ini direka mengikut ciri-ciri yang terdapat pada iPhone. Keupayaan pintar untuk melakukan pelbagai tugasan merupakan salah satu ciri utama Pre.
Anda tidak perlu khuatir untuk melancarkan beberapa aplikasi serentak seperti di komputer dan menukar kepada aplikasi yang aktif pada bila-bila masa.
Ciri utama yang menjadi kegilaan ramai, skrin sentuh berbilang pada iPhone turut diadaptasi pada Palm Pre. Tugas membesarkan imej, melayari Internet atau membuat panggilan telefon hanya perlu dilakukan dengan sentuhan jari pada permukaan skrin.
Berbeza daripada kebanyakan telefon kacukan PDA yang menggunakan stylus sebagai peranti input, keseluruhan operasi Pre cuma memerlukan sentuhan jari.
Laman web popular seperti Facebook juga boleh diakses dengan pantas menggunakan aplikasi bina dalam, selain aplikasi lain seperti kalendar, e-mel dan sebagainya. Integrasi telefon dengan web ini memudahkan kita mengakses akaun web yang sering digunakan.
Satu satu inovasi kreatif yang ketara hasil integrasi ini adalah telefon ini akan mendapatkan foto teman yang menelefon atau menghantar SMS melalui akaun Facebook mereka, walaupun kita tidak pernah menyimpan gambar mereka di telefon!
Selain itu, pengguna juga boleh menyelaraskan akaun seperti Gmail dan menyalin semua alamat e-mel yang pernah kita hubungi melalui akaun tersebut. Sungguhpun ini boleh menyebabkan maklumat yang tidak diperlukan turut disalin, namun jika dilihat dari sudut positif, ia dapat menjimatkan masa.
Dari sudut reka bentuknya pula, Palm Pre mempunyai badan yang agak nipis berbanding kebanyakan telefon PDA selain papan kekunci QWERTY tersembunyi yang cuma perlu ditarik untuk dikeluarkan.
Pilihan papan kekunci ini berguna untuk menulis pesanan ringkas atau e-mel dengan pantas. Skrinnya lebih kecil jika dibandingkan dengan iPhone tetapi mempunyai resolusi yang sama iaitu 480 x 320. Dengan kata lain, piksel Pre lebih mampat membolehkan grafik yang dihasilkan lebih menarik berbanding saingannya.
Fungsi kamera yang terdapat pada Pre tidak banyak berbeza dengan model-model telefon seangkatannya. Dengan tiga megapiksel, imej yang dirakamkan agak sederhana dan mampu mengambil gambar dalam keadaan yang terang, tetapi apabila mengambil gambar di dalam keadaan kurang cahaya, imej yang terhasil mungkin agak pecah, sama seperti telefon berpiksel rendah lain.
Bagi yang gemarkan hiburan, Palm Pre tidak melupakan ciri yang dianggap ‘harus ada’ oleh sesetengah golongan. Ia menyokong format video seperti MPEG, H.263, H.264, MP4, M4V, 3GP, 3GPP, 3G2, dan 3GP2 yang mempunyai codec yang lebih berbanding dengan iPhone.
Ciri-ciri yang terdapat di dalam Pre boleh dikatakan ke hadapan setanding dengan jenama telefon pintar lain yang berada di pasaran hari ini. Namun reka bentuknya mungkin boleh diperbaiki lagi kerana jika dibandingkan dengan iPhone, bentuknya mungkin agak janggal dan kurang menyerlah seperti telefon keluaran Apple. Tidak mustahil dengan menukar sedikit penampilan fizikal, ia mampu menjadi salah sebuah telefon terbaik di pasaran! -
About Author
KHAIRUL ANUAR ABDUL RAHMAN
wah pak katon skrg aktif berblogging ya...
ReplyDeletecamne dgn pendapatan adsense ye?? lumayan?? hehehe