Saturday, June 20, 2009

Bermuda

Damai di Bermuda

Oleh Mohamed Juhari Shaarani
bminggu@bharian.com.my




Gugusan 9 pulau indah: Pasir pantai merah jambu janjikan percutian mengasyikkan di Bermuda

SEBUT saja Bermuda, pasti mengingatkan kita kepada pulau yang penuh mistik dengan kisah kehilangan kapal dan pesawat di kawasan dikenali Segi Tiga Bermuda, terus terlintas di fikiran.

Atau paling tidak pun, mereka yang meminati muzik, pasti terkenangkan lagu popular Barry Manilow yang bertajuk Bermuda Triangle.

Namun bagi penulis, bukan soal mistik atau misteri Bermuda yang melekat di minda, sebaliknya pengalaman menempuh perjalanan untuk sampai ke pulau yang sungguh indah ini terbukti bukanlah sesuatu yang mudah.

Perjalanan yang dilalui menghampiri 20 jam tanpa mengira waktu transit, tetapi jika dicampurkan waktu menanti transit di Lapangan Terbang Heathrow, London, ia sebenarnya mengambil masa 29 jam kerana hanya ada satu penerbangan ke pulau ini.

Sebaik menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Bermuda, sesiapa pun pasti terkejut melihat bangunannya amat jauh ketinggalan zaman serta uzur dan luntur warnanya, namun apa yang dilihat seterusnya boleh menjadi kenangan seumur hidup kerana pulau ini sangat indah.

Tembok yang dibina British pada awal 1800.

Bermuda yang merangkumi sembilan pulau dikelilingi Lautan Atlantik dihasilkan daripada letusan gunung berapi dan percayakah anda, di sebalik keindahan lautan serta daratannya, pulau ini cuma didiami kira-kira 60,000 orang.

Budaya pulau ini, khususnya muzik dan tarian pula sarat dengan pengaruh Afrika berikutan ramai golongan hamba abdi dari benua itu dibawa ke Bermuda yang dikatakan mendapat nama daripada seorang kapten berbangsa Sepanyol, Juan Bermudez.

Bermudez dikatakan menjumpai pulau ini pada 1503 dan pada 1609, Laksamana Sir George Somer berdepan masalah kapal karam berhampiran Bermuda lalu di pulau inilah beliau membina kembali kapal dan cuba untuk menuntut Bermuda yang dimiliki British selain cuba menamakannya sebagai Pulau Somers, tetapi gagal.

Bagi penulis, keunikan di pulau ini jelas terasa sepanjang perjalanan dari Lapangan Terbang Bermuda ke ibu kotanya, iaitu Hamilton.

Bandar St George, diiktiraf Bandar Warisan Dunia oleh Unesco.

Ini dari segi barisan rumahnya yang menggunakan bumbung diperbuat daripada ‘limestone’ atau batu kapur berwarna putih untuk menakung laluan air hujan.

Kaedah ini digunakan sejak ratusan tahun lalu kerana masalah air bersih sememangnya menjadi satu masalah utama kepada penduduknya.

Air hujan yang melalui celah bumbung ini dikumpulkan dalam kolam besar yang dibina di bawah tanah setiap rumah yang menjadi usaha mendapatkan sumber bekalan air bersih sepanjang tahun bagi kegunaan harian penduduk Bermuda.

Satu perkara yang menarik tentang Bermuda, tidak ada satu pun bangunan tinggi di pulau ini dan jika ada pun, sebuah bangunan yang kini dalam pembinaan setinggi 10 tingkat di bandar Hamilton yang bakal menjadi bangunan tertinggi di Bermuda.

Jangan lupa melawat Bermuda Aquarium Museum dan zoo yang ditempatkan dalam sebuah bangunan 3 dalam 1, menggabungkan tiga tarikan utama di sini, malah koleksi hidupan laut di akuarium itu sememangnya menakjubkan.

Bersebelahan akuarium, terletak bangunan muzium yang menempatkan fakta asal usul Bermuda yang lebih terperinci dan dipenuhi kemudahan seperti interaksi bersama pengunjung menggunakan teknik robotik, audio visual, skrin sentuhan, kios dan hologram.

Sebuah zoo kecil yang terletak di tepi laut pula menempatkan binatang jinak yang dibiarkan berkeliaran bersama pengunjung.

Bagi penulis, antara keunikan yang harus dikongsi bersama pembaca adalah pantai di Bermuda yang pasirnya berwarna merah jambu, dikatakan terhasil daripada kehancuran hidupan laut ‘foram’ di lautan Bermuda.

Pasir-pasir ini boleh dibawa pulang kerana boleh dibeli pengunjung dalam botol kecil.

Peringatan lain - pastikan melawat Bermuda di musim panas. Ini disebabkan pengalaman melucukan penulis yang menjerit kerana tidak sabar turun ke laut tetapi sebaliknya ditertawakan pengunjung kerana suhu air ketika itu yang dingin.

Hanya selepas itu, penulis menyedari tiada sesiapa pun yang mandi disebabkan suhu airnya itu.

Tarikan lain adalah sebuah pulau menarik dan unik namanya, Nonsuch Island yang memerlukan pengunjung menaiki kapal ke pulau ini yang pada asalnya digunakan sebagai habitat burung.

Namun kini, pulau itu terus dipulihara bagi mengekalkan flora dan faunanya yang dikatakan tidak ada di pulau lain dan semasa menaiki kapal, pengunjung akan berasa kagum kerana pulau ini amat indah sewaktu dilihat daripada lautan.

Awas! ada amaran kepada mereka yang mudah mabuk laut - anda perlu membuat persediaan awal kerana gelombang ombaknya agak mencabar.

Sebagai pulau yang mempunyai hidupan laut yang mungkin tiada di kawasan lain, Bermuda Under Water Exploration Institute (BUEI) menempatkan saintis dari seluruh pelusuk dunia membuat kajian mengenai hidupan dan masa depannya, termasuk menyelamatkan spesis sedia ada daripada pupus.

Salah satu pulau yang popular dan menjadi kunjungan ramai pelancong ialah Bandar St George yang diiktiraf bandar warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2000.

Ia menjadi penempatan awal yang memperlihatkan ‘ketuanan’ British di pulau ini, juga ibu kota lama Bermuda menempatkan bangunan Vermond Bermuda National Craft Museum dibina pada 1710 yang mempamerkan banyak koleksi artifak dunia barat dan China.

Satu lagi keistimewaan Bermuda ialah deretan hotelnya di tepi laut yang banyak bercirikan bangunan lama Inggeris seperti tempat penginapan penulis, Hotel Fairmont Hamilton Princess hingga pekerjanya juga berpakaian bercirikan ketuanan British.

Bagi peminat seni tampak, pastikan mengunjungi Bermuda National Gallery dan Masterworks Museum of Bermuda Art yang menempatkan karya pelukis pulau ini, selain Bermuda Institute of Ocean Sciences dan Bermuda Historical Society Museum.

Jika berkesempatan, Bermuda boleh menjadi destinasi pilihan terutama pasangan yang ingin berbulan madu atau meraikan ulang tahun perkahwinan kerana ia menjanjikan satu percutian yang penuh nostalgia dan mengasyikkan.

No comments:

Post a Comment

Join Freelance Telecom EGroups

To Join Freelance Telecom Groups, please send a blank mail (no subject) to freelancer_telecoms-subscribe@yahoogroups.com