Thursday, October 1, 2009

Blueberry-i mirip Blackberry




Oleh AQMAR ALLADAD
aqmar.alladad@kosmo.com.my

Pada harga RM438 anda mampu memiliki telefon bimbit yang menyediakan pelbagai kemudahan asas dan kelihatan eksklusif seperti Blackberry Bold.

SESETENGAH orang lebih mementingkan papan kekunci setiap kali ingin membeli telefon bimbit. Ini kerana ciri selesa dan mudah ketika menekan papan kekunci untuk mengirim khidmat pesanan ringkas (SMS) mahupun membuat panggilan boleh mempengaruhi pengalaman menggunakan sesebuah telefon bimbit.

Trend menggunakan telefon bimbit yang mempunyai papan kekunci Qwerty seolah-olah semakin digemari oleh semua peringkat umur pada hari ini.

Malah syarikat pengeluar telefon bimbit kian giat memasukkan elemen terbaru itu untuk keluaran produk masing-masing.

Begitu juga dengan syarikat tempatan CSL Manufacturing (M) Sdn. Bhd. Mereka tidak mahu ketinggalan untuk memasarkan telefon bimbit jenamanya dengan papan kekunci Qwerty.

Papan kekunci

Sejak Blueberry-i dipasarkan baru-baru ini, banyak maklum balas daripada pengguna yang mengatakan mereka menggemari papan kekunci telefon tersebut.

Ini kerana jarak papan kekunci telefon tersebut tidak terlalu rapat sekali gus membuatkan penggunaan satu tangan sahaja sudah memadai.

Dalam pada itu, dengan mempunyai cahaya lampu putih pada papan kekunci tersebut, para pengguna boleh menggunakannya meskipun berada di tempat yang gelap.

Blueberry-i juga didatangkan dengan kemudahan kamera Video Graphics Array (VGA) iaitu sistem yang mampu memberikan hasil gambar yang menarik tidak kira sama ada pengguna berada di dalam persekitaran gelap atau cerah.

Dengan adanya kemudahan VGA, pengguna boleh merakam video dan hasilnya tidak mengecewakan.

Kantanya pula turut dilengkapi dengan penutup yang tahan lasak. Malah, anda boleh membersihkan permukaannya daripada kesan cap jari atau habuk dengan mudah tanpa sebarang sensitiviti.


KAMERA yang dilengkapi teknologi VGA mampu memberi hasil grafik yang menarik.


Kemudahan

Rekaannya nampak eksklusif seperti telefon-telefon bimbit yang mempunyai pelbagai kemudahan terkini.

Namun, jika diteliti Blueberry-i sebenarnya direka bagi pengguna yang kerap membuat panggilan telefon.

Ia kurang sesuai digunakan oleh pengguna yang menggunakan telefon untuk bermain permainan.

Dilengkapi dengan kabel mini USB yang terletak di sebelah bawah telefon, pengguna boleh menggunakannya untuk membuat sambungan bagi mengecas, memasang aksesori, kabel penyimpanan data-data dan fon telinga.

Pembaharuan lain yang ditonjolkan menerusi telefon itu ialah Global System for Mobile Communication (GSM). Ia merupakan sistem data yang diterima secara langsung tanpa wayar bagi memudahkan anda mendapat maklumat terkini.

Aplikasi seterusnya pula ialah GPRS dan Bluetooth yang menggunakan Advanced Audio Distribution Profile (A2DP). Teknologi streaming baru itu menyokong stereo bagi menikmati muzik dengan bunyi yang kuat, bertenaga dan berkualiti.

Pengguna juga diberi kebebasan untuk membuat pilihan bahasa sama ada bahasa Melayu, Cina dan Inggeris.

Ia turut menyediakan fungsi berbentuk Islamik apabila telefon itu mengetengahkan sistem pelbagai guna seperti laungan azan setiap kali masuk waktu solat.

Bagi mereka yang sering mengembara, anda tidak perlu bimbang berhubung arah kiblat kerana Blueberry-i turut menyediakan kemudahan tersebut.

Dua dalam satu

Satu lagi keistimewaan telefon itu ialah pengguna boleh menggunakan dua kad SIM serentak.

Bagaimanapun, ia membolehkan pengguna untuk menggunakan hanya satu kad SIM sahaja.

Caranya ialah hanya mengunci sahaja kad SIM yang tidak digunakan.

Anda tidak perlu menyimpan kad SIM yang tidak digunakan di tempat lain yang mungkin hilang, rosak, dicuri atau sebagainya.

No comments:

Post a Comment

Join Freelance Telecom EGroups

To Join Freelance Telecom Groups, please send a blank mail (no subject) to freelancer_telecoms-subscribe@yahoogroups.com