Sunday, June 28, 2009

Jamu mata di Dubai





Koleksi abaya, emas dan keindahan kota batu jadi tarikan pelancong

ABAYA, abaya, abaya. Selama tiga hari penulis dan rakan berada di Dubai, satu daripada tujuh negeri di Emiriah Arab Bersatu (UAE), perkataan itu sering disebut-sebut sehingga seorang kenalan yang bekerja di kota itu mengusik rakan tadi sudah 'gila abaya'.

Abaya adalah jubah moden yang boleh digayakan dalam pelbagai fesyen dan diperbuat dalam pelbagai saiz, termasuk untuk kanak-kanak yang sesuai dipakai pada majlis keagamaan atau hari raya.


Tumpuan kami ialah pasar tradisional di Naif yang menempatkan begitu banyak kedai menjual abaya pada harga amat berpatutan, malah pemilik sebuah kedai di situ fasih berbahasa Melayu kerana katanya ramai rakyat Malaysia berbelanja di situ.

Selain pasar tradisional atau souq dalam bahasa Arab, ada lebih 40 pusat beli-belah di Dubai, hab komersial di Teluk Arab yang menjual apa saja, daripada barangan import China yang murah kepada barangan berjenama.

Selama tiga hari itu, pantang ada kesempatan, kami berulang alik ke Naif, ke sana menaiki teksi, pulangnya berjalan kaki ke Deira sebelum menyeberang Sungai Dubai dengan abra atau teksi air dengan tambang satu dirham. Tiada rasa bimbang bersarang dalam hati sepanjang di Dubai kerana di mana saja pasti kelihatan muka orang Asia, terutama dari India, Pakistan, Bangladesh, Filipina dan tidak kurang juga orang Malaysia yang bekerja di sana.

PASAR Emas yang menjadi tumpuan pelancong.

Kekurangan kawasan bersejarah tidak menghalang Dubai membangunkan sektor pelancongannya melalui aktiviti beli-belah, pusat peranginan dan hotel mewah serta bangunan pencakar langit yang unik dan menarik.

Ada juga tarikan lain seperti Muzium Dubai yang mempamerkan pelbagai khazanah silam, termasuk alat muzik, elemen kehidupan di padang pasir serta senjata perang, namun bagi kebanyakan pelancong, membeli-belah lebih utama.

Waktu senggang memberi peluang kami bersiar-siar di sekitar kota Dubai, sempat menjamu selera di kedai makan milik rakyat Malaysia serta berehat di tepian pantai.

Sempat juga ke Palm Jumeirah, pulau buatan manusia berbentuk pokok palma yang turut menempatkan pusat peranginan mewah, Atlantis The Palm yang kadar sewa bilik termahalnya mencecah lebih RM85,000 satu malam!


Hotel itu yang dibina mencontohi pusat peranginan di Bahamas menyediakan hiburan keluarga bertemakan lautan yang dilengkapi akuarium gergasi terbuka menempatkan 65,000 jenis ikan.

Palm Jumeirah atau dikenali juga dengan nama Palm Dubai atau The Palms adalah antara tiga pulau buatan manusia yang terkenal dan dianggap sebagai keajaiban kelapan dunia.

Burj Al-Arab, sebuah lagi hotel mewah di Dubai yang dipromosi sebagai hotel tujuh bintang pertama di dunia dengan kemudahan di situ hanya mampu dilanggan mereka yang cukup kaya.

Pada sebelah malam, bangunan itu menawarkan pemandangan yang cukup cantik apabila lampu yang meneranginya bertukar warna dari semasa ke semasa mengikut tema air dan api.

Bagi yang gilakan barangan kemas, Pasar Emas atau Gold Souq menempatkan deretan kedai yang boleh membuatkan wanita rambang mata memilih pelbagai jenis rekaan emas putih dan kuning.

Beberapa kompleks beli-belah seperti Mall of the Emirates dan Dubai Mall turut kami kunjungi, tetapi wang belanja terhad membuatkan barangan yang mampu dibeli hanya minyak wangi dan tali pinggang berjenama pada harga lebih murah berbanding Malaysia.

Jika tidak dihalang batasan waktu, mahu juga merasai pengalaman bermalam di padang pasir dan menjalani kehidupan gaya puak Badawi, tetapi letih bersiar-siar dan membeli-belah membantutkan hasrat itu.

Tidak puas tiga hari di Dubai, namun kunjungan kali pertama ini amat berbaloi walaupun tangan lenguh mengheret beg yang penuh dengan abaya.

Info

Dubai


  • Mempunyai lebih 1.4 juta penduduk, paling ramai di UAE

  • Dikatakan berasal daripada perkataan Daba yang bermaksud menjalar

  • Keluasan 1.287 juta kilometer persegi

  • Bahasa rasmi, Arab tetapi Inggeris digunakan dengan meluas

  • Oleh Ahmad Naim Tahir
    naim@bharian.com.my

    No comments:

    Post a Comment

    Join Freelance Telecom EGroups

    To Join Freelance Telecom Groups, please send a blank mail (no subject) to freelancer_telecoms-subscribe@yahoogroups.com